Jenayah atas talian: Pengendali WhatsApp, Telegram perlu lebih bertanggungjawab
Pengendali aplikasi komunikasi Telegram dan WhatsApp perlu lebih bertanggungjawab dalam memastikan tiada sebarang salah laku jenayah bebas dilakukan di dalam platform berkenaan.
Platform WhatsApp banyak disalahgunakan bagi tujuan pengantunan seksual berdasarkan maklumat yang diterima daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak D11 Bukit Aman, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
“Platform Telegram pula kita sudah dapat banyak aduan termasuk daripada bekas menteri, menteri sedia ada, ramai dapat mesej dan berdepan ancaman scammer.
“Telegram juga agak bermasalah kerana ada membabitkan salah guna akaun untuk tujuan pornografi, jualan bahan terlarang seperti dadah,” jelasnya.
Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Sekolah Digital U Mobile di ibu negara, hari ini.
Menurutnya, isu-isu melibatkan dua platform itu sudah di dalam penelitian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan tindakan wajar akan diambil bagi memastikan aplikasi berkenaan serta keseluruhan media sosial selamat untuk digunakan komuniti.
“Kami mahu mereka lebih bertanggungjawab dan proaktif dalam menangani sebarang masalah yang dibangkitkan oleh pihak berkuasa serta mengambil tindakan, terutamanya terhadap akaun dan saluran yang melanggar undang-undang Malaysia.
“Sekiranya mereka enggan memastikan platform mereka bebas daripada elemen jenayah, kita akan pastikan mereka akur dengan undang-undang dalam negara kita,” katanya lagi.
Terdahulu, dalam ucapannya Fahmi menyarankan kepada warga pendidik dan ibu bapa untuk memainkan peranan dalam memastikan Generasi Z dan Generasi Alpha bersiap sedia menghadapi cabaran di dunia digital.
Beliau berkata walaupun dua generasi itu, yang merujuk kepada golongan yang dilahirkan antara 1997 hingga 2010 dan 2011 hingga 2026, dianggap sebagai individu yang sangat biasa dengan teknologi digital.
Namun, katanya, mereka masih perlu didedahkan dengan cabaran teknologi dalam semua aspek kehidupan, termasuk kesihatan, perniagaan dan komunikasi.
“Perlu ada perubahan dalam kalangan pendidik dan pelajar sendiri, bersedia mencabar diri, mencuba teknologi baharu tetapi pada masa sama, memahami batas-batas yang ada dari segi undang-undang, tatasusila, dan waspada dalam menggunakan teknologi,” katanya.
BACA JUGA Nama Zulfarhan sohor kini, wajah enam pembunuh tular kembali
Â