Menteri lawat tapak, optimis MAHA 2024 akan berjaya

Meskipun penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) akan berlangsung bermula 11 September depan, namun pemantauan rapi telah dilakukan oleh Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu memaklumkan perkara berkenaan menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook beliau.

Katanya, persediaan pameran yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang itu berjalan dengan rancak dan baik.

”Insya-Allah dapat disiapkan semua persiapan ini menjelang MAHA nanti.

”Kerja-kerja baik pulih dan menaik taraf juga sedang berjalan dengan rancak sekarang ini.

”Insya-Allah MAHA akan berjaya dan jutaan pelawat akan datang ke program MAHA ini,” katanya dalam video tersebut.

Untuk rekod, MAHA kali ini merupakan edisi khas 2024 sempena meraikan 100 tahun penganjurannya.

Dengan tema MAHA pada tahun ini, “Menuai Harapan Membina Masa Hadapan” (Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom) tema ini membawa maksud bagi meraih masa depan pertanian yang lebih maju dan inovatif.

MAHA 2024 akan menyaksikan pameran terbesar teknologi baharu, pemodenan dan pertanian pintar serta solusi hijau yang akan menentukan arah baru sektor agrikultur Malaysia.

Antara teknologi yang akan diberi penekanan pada MAHA kali ini bagi sektor perikanan ialah memperkenalkan teknologi akuakultur moden yang dapat meningkatkan hasil dan kualiti produk perikanan.

Sasaran penganjuran MAHA pada tahun ini ialah sebanyak tiga juta pengunjung sepanjang tempoh pameran.

BACA JUGA Genap setahun pemergian Salahuddin Ayub, Bapa Rahmah Negara

Â