Dakwaan diploma TVET ditolak JPA: Ini penjelasan Zahid Hamidi

Heboh kononnya Diploma Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk diguna pakai bagi berkhidmat dalam Skim Perkhidmatan Awam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan itu perlu dihentikan kerana pemegang sijil dan diploma yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) layak memasuki sektor perkhidmatan awam.

“Saya berharap spekulasi seperti ini tidak diperbesar bagi mengelakkan kesalahfahaman masyarakat sedangkan potensi bidang TVET sangat besar termasuk kebolehpasaran graduan mencatatkan 94.5 peratus pada 2023 berbanding 92.5 peratus pada 2022 yang menunjukkan penerimaan dan pengiktirafan tinggi industri terhadap graduan TVET,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, program terbabit dilaksanakan oleh institusi TVET berdasarkan pentauliahan oleh dua badan akreditasi utama iaitu Agensi Kelayakan Malaysia dan JPK berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia.

“Persijilan Kemahiran Malaysia yang dikeluarkan oleh JPK merangkumi peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi tahap 1, 2 dan 3; Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) bagi tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) bagi tahap 5.

“Pensijilan ini adalah berdasarkan kepada kompetensi pekerjaan atau kemahiran yang diperlukan oleh industri yang didokumenkan sebagai Standard Pekerjaan Kemahiran Malaysia (SPKM) atau lebih dikenali dengan singkatan NOSS,” katanya.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, sebanyak 68 skim perkhidmatan awam iaitu 66 bagi gred 19 dan 2 bagi gred 29 telah memperuntuk Persijilan Kemahiran Malaysia sebagai antara syarat permohonan ke Perkhidmatan Awam.

Menurutnya, mengikut Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam, atau eSisraf, kelayakan DKM turut diterima untuk lantikan ke Perkhidmatan Awam.

ESisraf ialah sistem daftar yang menyenaraikan semua program pengajian peringkat sijil, diploma, diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda serta mana-mana kelayakan diiktiraf oleh kerajaan.

Dari semasa ke semasa, beliau berkata, JPK akan merujuk kepada JPA bagi meneliti perihal pengiktirafan jika terdapat bidang pekerjaan lain di sektor kerajaan yang memerlukan Pensijilan Kemahiran Malaysia.

Zahid berkata ini bagi membuka peluang lebih luas kepada graduan TVET yang dikeluarkan melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan awam secara keseluruhan.

“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya komited untuk meneruskan usaha memperkasakan TVET secara menyeluruh dan melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan.

“Ini adalah usaha kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi serta globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Orang Arab sebut ‘Sanusi boleh’ pun walaun dah bangga

Â