Ini kata Air Selangor berkaitan gangguan di Lembah Klang

Gangguan bekalan air melibatkan tujuh daerah di Selangor dan Kuala Lumpur sudah pulih 14.3 peratus setakat jam 9 pagi tadi.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Air Selangor, peratusan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka akan mencapai sekitar 40 peratus pada jam 8 pagi esok, diikuti 90 peratus pada jam 8 malam.

”Gangguan bekalan air dijangka selesai sepenuhnya selewat-lewatnya 8 pagi Jumaat ini,” maklum Air Selangor.

Semalam, lebih 100 kawasan di tujuh daerah mengalami gangguan air selepas henti tugas sementara Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang), Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Loji tersebut terpaksa dihenti tugas berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.

Air Selangor berkata, jangkaan masa pemulihan penuh adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Bagaimanapun, Air Selangor menggerakkan lori tangki air ke kawasan masih terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

”Bantuan bekalan air alternatif menerusi 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai, katanya lagi.

Kenyataan itu turut memaklumkan pengguna tidak perlu bimbang jika bekalan air baru pulih itu berwarna atau keruh.

“Situasi sebegini lazimnya berlaku semasa bekalan air terputus disebabkan oleh gangguan bekalan air berjadual atau tidak berjadual.

”Bekalan air yang disambung semula boleh menyebabkan pemendapan sedimen dalam paip utama yang kosong terampai semula, ini mengakibatkan bekalan air berubah warna,” maklum Air Selangor lagi.

Justeru, pengguna dinasihatkan membiarkan paip air mengalir selama lima hingga 10 minit sehingga kembali jernih sebelum digunakan.

BACA JUGA Jenayah ‘berpindah’ ke media sosial, ini jaminan Fahmi

Â