Rupanya ini yang diperkatakan Asyraf tentang calon DUN Nenggiri

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sebagai seorang yang ‘dekat’ dengan masyarakat di Dun berkenaan.

Katanya, ketokohan dimiliki calon BN iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani membuatkan beliau dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Kelantan.

”Azmawi merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sewaktu saya menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia lagi.

”Hari ini kerana ketokohan, beliau diangkat sebagai Ketua Pemuda UMNO Kelantan. Ini bermakna bukan sehari dua, bukan empat bulan, bukan setahun dua seperti mana tuduhan sesetengah pihak,” katanya di TikTok.

Malah dalam video sama, Asyraf turut menyingkap kembali khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Azmawi terutamanya ketika negara dilanda wabak Covid-19.

”Lebih penting lagi Mawi ini cukup dekat dengan orang kampung dan orang ramai di Dun Nenggiri.

”Sepanjang saya menjadi Ketua Pemuda Umno Malaysia, sewaktu kita melancarkan pemuda bantu rakyat, ketika rakyat menghadapi masalah pandemik covid 19, beliau (Mawi) yang pergi turun naik ke rumah-rumah mereka yang kurang berkemampuan.

”Inilah tokoh yang ditampilkan mewakili BN untuk DUN Nenggiri. Jangan lupa turun mengundi saudara Azmawi,” kata Asyraf.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK Nenggiri masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan selepas ADUN, Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada 18 Julai lalu, BN Kelantan mengumumkan Mohd Azmawi sebagai calon PRK kali ini.

BACA JUGA Nasib tragis Esha: Apa kata Ahli Dewan Negara?

Â