BN nafi larang Rafizi, Lokman Adam datang ceramah PRK Nenggiri
Barisan Nasional (BN) hari ini menafikan kenyataan tular yang mendakwa Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan tiga individu lain tidak dibenarkan tampil di pentas ceramah sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.
Selain Rafizi, nama lain yang disebut dalam kenyataan itu termasuklah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, Wan Mahussin Wan Zain dan seorang lagi pempengaruh dikenali sebagai Wan Hadi.
Menerusi penjelasan di Facebook, BN berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti berikut dan menyifatkan kenyataan seperti itu adalah mainan politik untuk memecah belahkan perpaduan di dalam kerajaan.
“Sesungguhnya segala kenyataan media rasmi hanya akan disiarkan di laman FB rasmi Barisan Nasional sahaja.
“Dan diharap semua tidak termakan dengan mainan politik seperti ini tiap kali apabila Pilihan Raya akan berlangsung.
“Semoga semua pihak terus bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan berita palsu seperti ini lagi. Dan lagi sekali segala kenyataan media rasmi hanya di laman Facebook ini,” kata laman rasmi BN.
Kenyataan palsu bertarikh 24 Julai yang menggunakan nama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu menyenaraikan nama empat individu yang kononnya tidak dibenarkan tampil di PRK Nenggiri kerana mengambil iktibar kekalahan di PRK Sungai Bakap.
BACA JUGA Malaysia terus aman di bawah PMX, tersenarai 10 negara paling selamat di dunia