142,510 individu lepas status bankrap tanda kerajaan prihatin kehidupan rakyat

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung 142,510 individu berjaya dilepaskan daripada masalah bankrap sekaligus melepasi sasaran ditetapkan sebelum ini, mendapat reaksi positif termasuk ahli politik.

Antara yang menyambut baik pengumuman berkenaan adalah Pemuda AMANAH yang menyuarakan pandangan mereka melalui timbalannya, Danial Al-Rashid Bin Haron.

Danial menyifatkan pengumuman tersebut menunjukkan kerajaan sangat prihatin terhadap kehidupan rakyat dan bimbang sekiranya mereka tersenarai bankrap dan kehidupan akan terjejas.

”Lebih-lebih lagi bagi golongan muda yang sedang menguruskan kehidupan berkeluarga.

”Langkah ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada individu yang terjejas, tetapi juga membantu meningkatkan kestabilan ekonomi negara secara keseluruhan.

”Ia memberikan peluang kedua kepada mereka untuk bangkit semula, memulihkan perniagaan dan kehidupan, serta menyumbang semula kepada ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Danial lagi, pihaknya juga menyambut baik usaha Jabatan Insolvensi Malaysia untuk terus memainkan peranan penting dengan menyediakan sokongan yang diperlukan untuk memastikan individu yang terjejas dapat bangkit dan membina semula kehidupan mereka.

Katanya, kejayaan mengeluarkan seramai 142,510 individu daripada status bankrap menggambarkan usaha berterusan Jabatan Insolvensi Malaysia dalam memberikan peluang kedua kepada individu yang terjejas, membolehkan mereka untuk meneruskan kehidupan dan memulihkan semula perniagaan mereka.

Semalam, seramai 142,510 individu berjaya dilepaskan daripada masalah bankrap sekaligus melepasi sasaran ditetapkan sebelum ini.

Anwar berkata, ia satu pencapaian baik oleh Jabatan Insolvensi Malaysia dalam memberi peluang kedua kepada kelompok terjejas ini untuk meneruskan kehidupan dan memulihkan semula perniagaan.

“Daripada lebih 142,500 individu, syarikat dan keluarga yang terapung (nasibnya), tanpa jelas masa depan dan kehidupan mereka, itu bermakna mereka boleh kembali membantu memacu ekonomi,” katanya.

BACA JUGA Hukum baca doa Qunut Nazilah kepada sesama Islam disebut dalam khutbah Jumaat