Pejabat Teo Nie Ching dipecah masuk, polis berjaya tahan tiga lelaki

Pada 20 Julai lalu kecoh apabila pejabat Parlimen Kulai, pejabat sekolah dan tokong di daerah itu dipecah masuk.

Dalam perkembangan terbaru polis memaklumkan telah menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat kes pencerobohan tersebut.

Ketua Polis Kulai Tan Seng Lee berkata semua suspek berusia lingkungan 24 hingga 29 tahun itu ditahan di sekitar Kulai dan Johor Bahru bermula 3.30 pagi hingga 3 petang serta polis turut merampas peralatan dan kenderaan dipercayai digunakan dalam kegiatan terbabit.

“Menerusi tangkapan yang dilakukan, polis telah berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah pejabat sekolah, satu kes pecah pejabat Parlimen Kulai dan satu kes pecah tokong dalam daerah ini.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti dan mengesan seorang lagi rakan sejenayah suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semakan mendapati kesemua mereka mempunyai rekod jenayah lampau serta positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan air kencing.

Sebelum ini, media melaporkan Pejabat Parlimen Kulai dan empat SJKC di daerah itu dipecah masuk.

Ahli Parlimen Kulai yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching Teo berkata, kejadian itu menyebabkan kerugian ribuan ringgit dengan barang yang hilang termasuk peranti (tablet) dan telefon bimbit.

BACA JUGA Lans Koperal Alif dituduh di mahkamah atas dakwaan bunuh Nur Farah

Â