Rakyat Malaysia ‘berkampung’ di Facebook Suhakam sejak malam tadi

Orang ramai sejak malam tadi membanjiri akaun Facebook Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)  gara-gara bantahan suruhanjaya itu terhadap hukuman gantung sampai mati ke atas enam pembunuh Allahyarham Zulfarhan Osman Zukarnain.

Orang ramai mengecam teruk Suhakam, meminta agar ia tidak masuk campur dalam urusan mahkamah.

Setakat ini, hantaran Suhakam berhubung bantahan itu telah dikongsi lebih 220 kali dan lebih 1,000 komen telah ditinggalkan oleh pengguna.

Kemarahan rakyat Malaysia berterusan apabila ada yang mencadangkan agar satu petisyen dibuat untuk membubarkan suruhanjaya itu.

Mereka percaya, keputusan suruhanjaya berkenaan membela pesalah adalah tidak adil kepada keluarga Allahyarham dan Allahyarham sendiri yang menanggung 90 kesan tekapan seterika.

“Macam mana dengan hak asasi Zulfarhan pula? Suhakam memalukan. Bukan semua kes bunuh kena hukum gantung tapi kes ini perlu untuk bagi pengajaran kepada orang ramai,” kata Nurhayati.

Tindakan Suhakam membela enam pesalah itu juga nampaknya menyerang diri mereka semula apabila lebih ramai mengecam, mengatakan pesalah perlu merasai kesakitan sama dirasai Zulfarhan.

“Saya sokong kenyataan Suhakam. Memang tak adil kalau dia orang kena hukuman gantung sebab dia orang tak rasa seksa arwah macam mana. 

“Patut dapat balasan sama macam arwah kena. Belasah, kemudian bagi 90 tekapan seterika wap. Biar dalam seminggu baru pergi hantar hospital. Ini kan adil dari kaca mata Suhakam kan,”  sindir Sumaiyah.

Petang semalam Suhakam mengeluarkan kenyataan yang membangkitkan kemarahan banyak pihak apabila membantah hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan.

Walaupun dakwa suruhanjaya itu bahawa ia bersama keluarga mangsa dalam memahami kesedihan dan mengakui seriusnya jenayah terbabit, namun ia berpandangan hukuman mati bukan penyelesaian adil atau berkesan.

Atas dasar itu, Suhakam meminta kerajaan mempertimbang semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.

BACA JUGA Malaysia terus aman di bawah PMX, tersenarai 10 negara paling selamat di dunia