Kenapa tak baca doa Qunut Nazilah ketika wang KWSP dilabur kepada Blackrock era Muhyiddin?
Perdana Menteri menempelak Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang tidak membacakan doa Qunut Nazilah ketika zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melaburkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kira-kira RM600 juta kepada BlackRock.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, doa itu tidak sepatutnya dibacakan untuk tujuan melaknat kerajaan semata-mata tidak sependapat dalam soal politik seperti mana ditegur golongan mufti sebelum ini.
“Ketika 2020, PN, Pas dan Bersatu, dia bagi BlackRock RM600 juta, duit mana? Duit KWSP, kenapa ketika itu tak salah, kenapa tak baca doa Qunut Nazilah?” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian golongan terbabit berhubung tindakan kerajaan dipimpin perdana menteri sebelum ini yang membenarkan kapal Israel masuk dan berlabuh di Malaysia.
“Doa ini bukan politik sebab itu mufti beri pandangan. Ini kata kita tak setuju doa…siapa kata kita tidak setuju doa?
“Hari-hari kita doa, lepas solat kita doa, tapi bukan doa melaknat orang lain.
“Kamu bagi kapal Israel masuk tak ada doa. Ya, saya mesti suarakan. Selalu saya tak jawab, biar orang lain jawab, PM jangan jawab, PM kena cakap baik-baik, tetapi saya kena cerita dengan orang Tambun,” ujarnya.
PMX berkata demikian ketika berucap pada Kenduri Madani di Pusat Kegiatan Komuniti Taman Perpaduan Koperasi 2 Tambun, hari ini.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bagaimana kerajaan MADANI diterajuinya bertindak tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel berlabuh atau memuat kargo di mana-mana pelabuhan di Malaysia.
Keputusan kerajaan itu berbeza dengan kerajaan terdahulu yang membenarkan kapal dari negara haram terbabit berlabuh di negara ini.
“Bila kita hentikan kapal Israel masuk? 2023.
“Bila kapal Israel masuk? 2002 semasa Tun Dr Mahathir jadi PM (kemudian diteruskan) semasa Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masa itu ada PAS dan BERSATU (dalam kerajaan),” katanya lagi.
BACA JUGA Pesara TLDM jadi calon Bersatu di PRK Nenggiri
Â