Laksana tindakan tidak popular, kerajaan usaha tangani maklumat bahaya di media sosial

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penyebaran maklumat bahaya yang kian berleluasa di media sosial memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan, termasuk yang tidak popular bagi menanganinya.

“Kerajaan punyai masalah sekarang apabila kita cuba perkenalkan beberapa sekatan yang tidak semestinya popular kerana mereka yang yakin terhadap kebebasan tanpa kawalan, berhak untuk ekspresikan pandangan tanpa mengambil kira impaknya kepada masyarakat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, usaha menangani lambakan berita palsu, penipuan dan buli siber menerusi media sosial memerlukan lebih banyak peraturan.

“Mereka mengabaikan hakikat bahawa ada wanita mengambil keputusan, terpaksa atau terdesak untuk melakukan perbuatan bunuh diri disebabkan sesuatu pencabulan,” ujarnya
pada majlis perasmian Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (WCIT 2024) Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di Kuala Kangsar hari ini

Sebelum ini, negara digemparkan dengan kes kematian pempengaruh media sosial dan aktivis, Rajeswary Appahu, 29, atau Esha pada 5 Julai lalu.

Esha ditemui mati di kediamannya di sebuah kondominium di Setapak, sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Kematiannya dipercayai ada kaitan dengan tekanan dihadapi berikutan menjadi mangsa buli siber.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, perkhidmatan media sosial dan pesanan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu akan dikuat kuasa 1 Januari depan selepas satu kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan internet diperkenal 1 Ogos ini.

Ia selaras keputusan Kabinet bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet mesti mematuhi undang-undang Malaysia.

BACA JUGA Pesara TLDM jadi calon Bersatu di PRK Nenggiri

Â