Pekerja di Kelantan terima purata gaji terendah, KL paling tinggi – Bancian

Purata gaji dan upah bulanan yang diterima individu bekerja di Kelantan adalah yang paling rendah berbanding negeri-negeri lain.

Menerusi Banci Ekonomi 2023, pekerja di Kelantan menerima purata gaji sekitar RM2,070, berbanding dengan Kuala Lumpur yang mencatat purata gaji lebih tinggi iaitu RM4,196

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Kuala Lumpur jelas menjadi pilihan utama bagi mereka yang mencari peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi.

Perkara itu diumumkan pada Majlis Peluncuran Penemuan Banci Ekonomi (Be) 2023 malam tadi.

Mengikut penemuan yang dikongsi, pekerja di Selangor menerima purata gaji kedua tertinggi iaitu sebanyak RM3,563 dan diikuti Pulau Pinang sebanyak RM3,496.

Kemudian disusuli oleh Labuan (RM3,491), Melaka (RM3,115), Sarawak (RM3,077), Negeri Sembilan (RM3,025) dan Putrajaya (RM2,994).

Berikutnya Johor dengan RM2,987, Terengganu (RM2 ,793), Kedah (RM2,721), Perak (RM2,679), Pahang (RM2,628), Sabah (RM2,381), Perlis (RM2,253) dan Kelantan yang paling rendah (RM2,070)

Sementara itu menurut Mohd Uzir, bagi Kuala Lumpur dan Selangor, pekerja yang menerima purata gaji sebulan tertinggi adalah yang berkerja di sektor perkhidmatan iaitu dalam perkhidmatan telekomunikasi dengan RM9,457.

Pulau Pinang pula merekodkan purata gaji sebulan tertinggi di sektor pembuatan.

Katanya, purata gaji bulanan tertinggi direkodkan oleh pekerja dalam aktiviti pembuatan produk elektrik, elektronik & optikal iaitu RM4,790 sebulan.

Bagaimanapun, bilangan pekerja menurun bagi sektor pertanian, pembinaan dan perlombongan & pengkuarian, katanya.

BACA JUGA Laksana tindakan tidak popular, kerajaan usaha tangani maklumat bahaya di media sosial

Â