ADUN Mahkota meninggal dunia
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, meninggal dunia pada jam 12.25 tengah hari tadi.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan perkhabaran duka itu menerusi Facebook.
“Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka mengenai pemergian‎ ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
“Pemergian Datuk Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan ‘Ummi’, amat dirasai kerana beliau adalah seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi. Jasa dan bakti beliau untuk Johor, khususnya DUN Mahkota, tidak akan dilupakan.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah, dan semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan itu.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di pekarangan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, di Kluang, kira-kira jam 10.30 pagi tadi untuk menziarahi Sharifah Azizah.
Dalam sidang media selepas itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa Sharifah Azizah berada dalam keadaan agak kritikal dan sudah berhenti diberikan ubat tidur sejak pagi tadi.
Pada 31 Julai lalu, media melaporkan Sharifah Azizah dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami pendarahan dalaman.
Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 itu juga pernah dilapor mendapatkan rawatan di hospital, Mac lalu, berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.
Sharifah Azizah yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor, dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar dari 2018 hingga 2022.
Beliau adalah anak kepada Allahyarham Datuk Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj yang merupakan bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat, iaitu dari 1978 hingga 1990.
BACA JUGA Cara nak mudah faham sebab ringgit mengukuh
Â