Ini tarikh semak keputusan permohonan rayuan ke universiti awam

Keputusan permohonan rayuan UPUOnline untuk kemasukan ke universiti awam (UA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh disemak bermula Selasa depan (6 Ogos) hingga 15 Ogos.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan boleh disemak melalui portal UA dan Aplikasi UPUPocket bermula 12 tengah hari dan tempoh setuju terima adalah bermula 7 hingga 15 Ogos.

”Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berusaha untuk pastikan bahawa yang terbaik dapat tempat.

”Ini adalah selaras arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim iaitu jangan ada pelajar cemerlang tercicir dalam konteks kemasukan ke universiti, katanya lapor Awani.

Beliau berkata KPT menerima sebanyak 27,407 permohonan rayuan dengan jumlah unjuran tempat adalah sebanyak 9,459.

”Bilangan program dibuka untuk rayuan adalah 246 program dengan 13 program temu duga.

”Harap yang ditemu duga tampil diri sebaik mungkin untuk dapat perhatian panel penemuduga, katanya lagi.

Bagi calon yang tidak berjaya dalam proses rayuan, Mustapa berkata mereka boleh memohon kemasukan ke universiti swasta atau melanjutkan pelajaran bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Katanya, jangan menganggap TVET sebagai pilihan kedua kerana TVET ada kebolehpasaran yang tinggi.

BACA JUGA ADUN Mahkota meninggal dunia

Â