Kekosongan DUN Mahkota diumum 4 Ogos ini
Kekosongan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ahad, 4 Ogos ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, ia berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada tengah hari Jumaat.
“Insha-Allah hari Ahad ini (akan maklumkan kekosongan), kerana hari ini dan esok, pejabat tutup. Hari Ahad saya masuk pejabat dan akan memaklumkan kepada SPR dengan segera.
“Tempoh dalam masa segera (umum kekosongan kerusi) kalau ikut peraturan Fasal Lima Perkara 23 Bahagian Kedua kita akan maklumkan.
“Masa sekarang baru dan tidak sesuai kalau kita hendak umum tetapi kita akan maklum segera, situasi ini juga pernah berlaku semasa pemergian ADUN Pulai, Datuk Salahuddin Ayub, sehari selepas itu saya buat pengumuman, sebab hari ini dan esok cuti, kita tunggu Ahad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengkebumian jenazah Allahyarhamah Sharifah Azizah di Tanah Perkuburan Islam Raudhatus Sakinah, Kampung Tengah Kluang hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Puad berkata, kehilangan Sharifah Azizah disifatkan satu kehilangan besar kerana sumbangannya begitu besar bukan sahaja kepada rakyat, negara, kawasan yang diwakilinya tetapi juga kepada Barisan Nasional (BN).
Terdahulu, jenazah Allahyarhamah Sharifah Azizah selamat dikebumikan kira-kira pukul 5.25 petang.
Allahyarham Sharifah Azizah, 64, dimasukkan ke hospital berkenaan selepas mengalami pendarahan dalaman dan sesak nafas sejak Rabu.
BACA JUGA Maulidur Rasul bertindih dengan Hari Malaysia, ada cuti gantian automatik?