Ringgit capai RM4.49 untuk satu dolar AS hari ini

Ringgit terus merekodkan pengukuhan untuk mencapai paras RM4.49 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, menurut laman web Bank Negara Malaysia (BNM).

Mata wang negara meneruskan kenaikan selama 10 hari berikutan pelabur menjangkakan kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) pada September.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, faktor utama pengukuhan ringgit adalah situasi terkini di AS, yang mana jangkaan pemotongan kadar di sana semakin tinggi dan beroleh momentum.

Beliau berkata, ia susulan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 30 dan 31 Julai lalu, yang meskipun mengekalkan kadar faedah pada 5.5 peratus, kenyataan yang dikeluarkan memperlihatkan momentum ekonomi AS adalah agak lemah.

Semalam, laporan Standard Chartered Malaysia yang dikeluarkan berkata, ringgit akan terus memperlihatkan prestasi baik, sebagai satu-satunya mata wang Asia yang meningkat berbanding dolar AS tahun ini.

“Pada masa sama, keputusan pilihan raya AS akan datang mungkin membawa sedikit risiko kepada ringgit, terutamanya melibatkan sebarang tindakan pengenaan tarif ke atas China,” menurut laporan itu.

BACA JUGA ‘Adik, kakak tahu tak ringgit kita makin ‘beautiful?’