Proses PRK pertama Kelantan selepas PRN ke-15 bermula hari ini

Proses Pilihan Raya Kecil (PRK) pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 bermula hari ini di N.43 Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Bermula jam 9 hingga 10 pagi, proses penamaan calon akan berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.

Susulan itu, tiga jalan utama di daerah itu akan ditutup sementara, bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari bagi melancarkan proses penamaan calon.

Ia melibatkan Jalan Persiaran Raya bermula dari lampu isyarat Persimpangan Mahkota sehingga lampu isyarat Persimpangan Bendahara dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Bakal calon perlu menyerahkan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan DUN yang terletak di bawah Parlimen Gua Musang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan.

Ini kerana kesemua 14 pengundi yang terlibat memilih mengundi secara pos, susulan keperluan untuk mereka bertugas sepanjang tempoh kempen PRK.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) menamakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) telah mengumumkan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail sebagai calon Bersatu.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu.

Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu tetapi keahliannya dalam parti itu telah digugurkan pada 13 Jun lalu.

BACA JUGA Kekosongan DUN Mahkota diumum 4 Ogos ini

Â