Saingan satu lawan satu di PRK DUN Nenggiri
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
BN mempertaruhkan Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38, (gambar atas) untuk merampas kembali kerusi kubu parti itu.
Sementara itu, PN diwakili bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, 41, yang juga mantan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Pengawai Pengurus PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud sebentar tadi mengumumkan calon yang sah bertanding selepas proses penamaan selesai di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.
Kedua-dua calon mempunyai tempoh 14 hari berkempen sebelum pemilih membuang undi pada 17 Ogos ini.
Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.
PRK DUN Nenggiri yang merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 diadakan ekoran kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu.
Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu tetapi keahliannya dalam parti itu telah digugurkan pada 13 Jun lalu.
BACA JUGA Proses PRK pertama Kelantan selepas PRN ke-15 bermula hari ini