‘Tak bolehlah kata kalah di Sungai Bakap kalah juga di Nenggiri’
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menepis cakap-cakap kononnya kekalahan Perpaduan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sebelum ini akan mempengaruhi saingan di DUN Nenggiri nanti.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam berkata, setiap kawasan mempunyai pengundi, trend dan sikap yang tersendiri.
”Maka kita tidak boleh kata bahawa oleh kerana kita menang di PRK Kuala Kubu Baharu, maka kita akan menang di Sungai Bakap.
”Atau pun kita kalah di Sungai Bakap, maka kita akan kalah di Nenggiri. Ini kerana yang mengundi itu semuanya berbeza,” katanya dalam rancangan temubual di Jom Channel malam tadi yang bertajuk Nenggiri Milik Perpaduan?
Bagaimanapun, Khalid yang juga mantan Menteri Wilayah berpendapat, untuk meraih undi, ianya banyak bergantung kepada isu-isu tempatan.
Ini kerana katanya, pilihan raya kali ini adalah di peringkat DUN, maka isu tempatan yang akan ditonjolkan atau dijanjikan oleh calon-calon adalah amat penting untuk mendapatkan undi masyarakat.
”Yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), dia boleh kata dia dapat sokongan daripada kerajaan negeri.
”Yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan Perpaduan pula, dia akan kata dia ada sokongan daripada peringkat Persekutuan
”Kalau rakyat rasa di Nenggiri itu banyak membantu mereka, maka mereka mungkin akan memberikan keutamaan kepada calon PN.
”Tetapi kalau masyarakat nampak banyak masalah yang dihadapi memang peringkat Persekutuan (yang boleh selesaikan), maka Insya-Allah mereka akan lebih cenderung kepada calon BN dan Perpaduan,” ujar beliau lagi.
BACA JUGA Ahmad Zahid ‘buka mulut’ tentang PRK DUN Mahkota
Â