Yakin Awi berwibawa rampas kembali Nenggiri
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa yakin dengan kemampuan calon mereka, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani untuk menggalas amanah parti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Azmawi Fikri akan berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail dalam saingan satu lawan satu.
”BN menampilkan Awi (Azmawi), seorang anak muda yang berwibawa bagi merampas kembali DUN Nenggiri.
”Awi telah lama berkhidmat dan bersama pengundi dalam DUN ini.
”Beliau kini memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Gua Musang dan juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan,” tulis Ahmad Zahid di Facebook beliau.
Dalam catatannya itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO optimis Azmawi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di DUN berkenaan.
Terdahulu, beliau mengiringi Mohd Azmawi ke sesi penamaan calon yang diadakan di Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang.
”Berarak dan berpadu bersama-sama seluruh jentera serta penyokong BN juga disertai bersama Pakatan Harapan.
”Alhamdulilah proses penamaan calon semuanya berjalan dengan lancar dan saya berharap kesempurnaan ini berterusan buat jentera parti untuk bekerja sebaiknya demi memenangkan Awi dan BN pada 17 Ogos nanti. Insya-Allah!,” kata Ahmad Zahid.
PRK DUN Nenggiri diadakan susulan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu.
Untuk rekod, kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang oleh Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu, namun keahliannya telah digugurkan pada 13 Jun lalu.
BACA JUGA Saingan satu lawan satu di PRK DUN Nenggiri
Â