Keganasan di UK: Banyak negara keluar amaran keselamatan
Sejumlah negara telah mengeluarkan amaran keselamatan kepada warganegara mereka di United Kingdom (UK) ekoran keganasan dan rusuhan antipendatang yang berlarutan selama beberapa hari.
Malaysia, Indonesia dan Nigeria telah mengeluarkan amaran dan memberi nasihat kepada rakyat mereka yang menetap atau melawat UK supaya menjauhi kawasan demonstrasi.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London menerusi mesej dalam talian berkata: “Rakyat Malaysia yang tinggal atau berkunjung ke United Kingdom dinasihatkan supaya menjauhi kawasan protes, kekal berwaspada dan mengikuti kemas kini serta panduan disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Ia juga “sangat menggalakkan” orang ramai untuk mendaftar dengan suruhanjaya tinggi itu untuk “menerima maklumat dan bantuan tepat pada masanya.
Kedutaan Besar Indonesia di London turut mengeluarkan amaran, menasihatkan rakyatnya di UK supaya mengelakkan kawasan yang sesak dan meningkatkan kewaspadaan mereka.
Sementara itu, “amaran perjalanan” oleh Kementerian Luar Nigeria yang berpangkalan di Abuja pula menyatakan terdapat “peningkatan risiko keganasan dan kekacauan akibat rusuhan baru-baru ini di UK,” dengan menyatakan “keganasan telah mencapai tahap yang berbahaya.”
Kementerian itu memaklumkan, “demonstrasi oleh kumpulan berhaluan kanan dan kumpulan lain di beberapa bahagian UK sejak beberapa minggu kebelakangan ini sudah merebak dan beberapa kes sukar dikawal.”
Sejak minggu lalu, keganasan meletus di beberapa bandar dan pekan di England dan Ireland Utara berikutan pembunuhan tiga kanak-kanak perempuan di kelas tarian di Southport.
BACA JUGA Bukan hanya dolar, ringgit mengukuh berbanding banyak negara lain
Â