Laporan pertukaran pegawai tertinggi PDRM: Kertas siasatan dibuka
Kertas siasatan dibuka susulan laporan sebuah portal berita berhubung perubahan jawatan membabitkan beberapa nama-nama besar dalam agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tular, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, Polis Kontinjen Kuala Lumpur mengesahkan menerima laporan polis berhubung portal berita yang mendedahkan perancangan pertukaran kepimpinan tertinggi PDRM.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu,PDRM menafikan laporan sebuah portal berita berhubung perubahan jawatan membabitkan beberapa nama-nama besar dalam agensi di Bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya mengesan laporan berita itu yang mendakwa bakal berlaku pertukaran dalam pimpinan tertinggi pasukan dengan memetik sumber tidak rasmi.
Laporan berita portal tempatan itu tular di media sosial melaporkan berhubung pertukaran membabitkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Portal berkenaan yang memetik sumber mendakwa Ayob Khan bakal menerajui sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sama ada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia atau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA).
Sementara itu, Mohd Shuhaily pula dikatakan bakal dihantar ke Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai ketua pengarah baharu.
BACA JUGA Ini sebab kenapa Ketua Penerangan Puteri UMNO kata Azmawi bukan ‘katak’