Lee Zii Jia sohor kini sumbang pingat kedua negara, kedai mamak ‘bergegar’
Lee Zii Jia muncul sohor kini di platform X apabila menyumbang pingat kedua negara di Sukan Olimpik 2024 malam tadi.
Malah, kemenangan Zii Jia turut heboh diraikan orang ramai di kedai mamak berserta tepukan dan sorakan ‘Malaysia Boleh’.
Pemain perseorangan lelaki negara itu meraih pingat gangsa selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena malam tadi.
Zii Jia yang merupakan pemain nombor tujuh dunia bangkit daripada tewas set pertama 13-21.
Seterusnya, anak kepada guru dan bekas pemain bola keranjang antarabangsa berkenaan meraih kemenangan 21-16 dan 21-11.
Rekod itu menyaksikan beliau memperbaiki pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo di mana dia berjaya mara sehingga ke pusingan 16 sebelum tewas di tangan pemenang pingat perak dari China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21.
Pada aksi terbabit, Lee Zii Jia membuka set pertama dengan aksi kurang memberangsangkan.
Namun, beliau bangkit ketika memasuki set kedua sekalipun ketinggalan jauh apabila mengikat Lakshya 8-8.
Pemuda berusia 26 tahun itu seterusnya menuju ke interval set kedua dengan mendahului 11-8 sebelum Lakshya berjaya mengikat kedudukan 12-12.
Beraksi pada set ketiga, Zii Jia tampil garang apabila pada satu ketika mendahului 9-2.
Selepas mendahului 11-6 di interval, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu tidak menoleh ke belakang untuk menamatkan hayat permainan Lakshya dengan keputusan 21-11.
Sebelum ini, pingat pertama disumbangkan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada perebutan pingat gangsa, kelmarin.
BACA JUGA Mujahid sokong saranan Malaysia perlu ikhtiar tatacara dunia baharu lawan Israel
Â