Takut ditangkap ‘polis’, warga emas rugi RM140,000 selepas tinggalkan nombor pin kad ATM

Gara-gara takut ditangkap ‘polis’, seorang warga emas berputih mata selepas kerugian RM140,000 akibat diperdaya untuk menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bersama nombor pin.

Kes jenayah yang menimpa pesara kerajaan berusia 74 tahun itu bermula dengan panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai anggota polis pada 24 Jun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, mangsa dituduh suspek menerusi panggilan itu kononnya terbabit dalam jenayah pengubahan wang haram.

Oleh sebab itu, warga emas terbabit diminta membayar RM2,000 untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Jelasnya, mangsa yang tidak tahu cara membuat bayaran itu kemudian diarah menyerahkan kad ATM miliknya berserta nombor pin.

Warga emas malang itu diminta membungkus kad ATM berserta nombor pin dan meninggalkan bungkusan itu di taman permainan kanak-kanak berdekatan kediaman warga emas berkenaan.

Seterusnya pada 1 Julai lalu, katanya, mangsa menerima panggilan dari nombor telefon sama yang mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank miliknya untuk tujuan tidak pasti.

“Mangsa diugut akan ditangkap jika tidak mematuhi arahan itu.

“Disebabkan takut, mangsa terus pergi ke bank cawangan Kluang dan memasukkan wang berjumlah RM140,000 ke dalam akaun bank miliknya.

“Beberapa hari kemudian, mangsa membuat semakan akaun bank dan mendapati berlaku pengeluaran wang tunai melalui mesin ATM berjumlah RM140,000 daripada akaunnya itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyedari diri ditipu, pesara kerajaan terbabit membuat laporan polis pada 21 Julai lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 10 tahun dan sebatan atau dengan denda.

BACA JUGA ‘Kalau beliau terus duduk selama 2 penggal, saya yakin Malaysia jadi kuat semula’

Â