Padah memandu kereta, budak 12 tahun diheret ke mahkamah
Seorang budak lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini, atas pertuduhan memandu kereta Perodua Viva, bulan lalu.
Kanak-kanak berusia 12 tahun berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor pada 7.30 malam, 28 Julai lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan 1987.
Denda diperuntukkan tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi ketika prosiding yang dilakukan secara tertutup itu menawarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin.
Namun, peguam Nabilla Rosli yang mewakili kanak-kanak itu memohon jaminan rendah, atas alasan jaminan tersebut perlu ditanggung oleh bapanya yang turut didakwa.
Muhammad Bukhori menetapkan jaminan RM500 bagi kanak-kanak terbabit dan RM2,000 bagi bapanya masing-masing dengan seorang penjamin warga tempatan.
Mahkamah menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan kes.
BACA JUGA ‘Nak pilih calon suami kena pandai, nak pilih calon wakil rakyat pun kena pandai’
Â