Pakat-pakat makan rasuah kemudian pergi haji – Timbalan KPN tegur siapa?
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rasuah kini menjadi musuh nombor satu negara melihat kepada kerosakan akibat perbuatan itu kepada masyarakat dan negara.
Menurut ucapan yang dimuat naik di akaun rasmi media sosialnya, Ayob Khan berkata pentingnya untuk semua pihak membanteras rasuah dari peringkat atasan hingga ke bawah.
Katanya, amat mendukacitakan apabila orang Melayu Islam sendiri seperti menganggap rasuah sebagai satu budaya.
“Dalam konteks rasuah ini, kalau kita betul betul nak banteras bagi betul betul ada impak besar, ambil daripada atas.
“Kalau yang atas diambil tindakan, yang bawah akan takut. Tapi kalau atas dibiarkan, atas yang menggalakkan rasuah, bawah ni akan bermaharajalela
“Amat mendukacitakan ada dalam kalangan orang-orang Islam anggap rasuah dah macam satu budaya. (Mereka anggap) tak salah pun rasuah. Semua boleh ambil rasuah.
“Inilah salah satu sebab kenapa kita sampai sekarang masih ada isu rasuah, isu yang besar, yang saya boleh kategorikan sebagai musuh nombor satu negara,” katanya.
Klip video yang dimuat naik itu adalah ketika beliau berucap pada Hari Integriti Prasarana 2024 yang diadakan hujung Julai lalu.
Ayob Khan berkata, orang yang makan rasuah menganggap apabila mereka pergi menunaikan umrah atau haji, dosa itu telah diampunkan Allah.
Namun katanya, dosa terhadap masyarakat adalah yang lebih besar kerana rasuah adalah memakan duit orang lain.
“Banyak dalam kalangan orang Melayu Islam kita yang masih beranggapan rasuah ini ok. Dia orang anggap rasuah ni ibarat cukup tahun pergi haji, habis (dosa). Balik haji bersih. Seputih kain putih.
“Setiap bulan dia pergi umrah. Tiap tiap tahun dia pergi haji. Tapi duit, duit rasuah. Dengan anggapan dia bahawa tindakan dia makan rasuah tak apa. Nanti pergi haji minta maaf, minta ampun, Allah maafkan.
“Tidak. Rasuah ni kita punya dosa dengan masyarakat,” katanya lagi.
BACA JUGA Teruk presiden MOM kena kecam lepas jawab ada kuota khas bawa tetamu