Permohonan maaf Meta kepada PM Anwar dapat liputan meluas media Arab

Permohonan maaf Meta Platforms kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mendapat liputan meluas media di negara Arab.

Ia susulan tindakan mereka menurunkan hantaran daripada akaun Facebook dan Instagram Perdana Menteri berkaitan pembunuhan pemimpin kanan Hamas Ismail Haniyeh.

Lapor Bernama, media yang menyiarkan berita berkenaan itu antaranya platform masrawy.com dan aawsat.com yang berpangkalan di Mesir, alroya.com (Oman), sarayanews.com (Jordan), alalam.ir (Iran), alquds.co.uk dan alghad.ty (UK), aljazeera.net, alaraby.com (Qatar) dan alwatannews.com (Bahrain).

Malaysia sebelum ini telah menuntut Meta memberi penjelasan selepas hantaran ucapan takziah susulan kematian Ismail Haniyeh diturunkan daripada akaun Facebook dan Instagram.

“Kami memohon maaf atas kesilapan operasi yang mana hantaran daripada Facebook dan Instagram Perdana Menteri diturunkan, hantaran itu sudah dipulihkan dengan label berita yang betul,” kata jurucakap Meta kepada Reuters sebagai maklum balas kepada soalan menerusi e-mel.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah memanggil Meta bagi memberikan penjelasan berhubung tindakan menurunkan kandungan berkaitan isu Palestin di platform media sosial Anwar.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta menurunkan hantaran Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Haniyeh di platform Facebook dan Instagram pada 14 Mei dan 30 Julai lepas.

Terbaharu, Perdana Menteri dilaporkan sudah menerima permohonan maaf daripada Meta.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata justeru, kerajaan berharap kejadian itu tidak berulang pada masa akan datang.

BACA JUGA Ini sebab kenapa Ketua Penerangan Puteri UMNO kata Azmawi bukan ‘katak’