Tak pasal-pasal peniaga, anak 12 tahun tular pandu kereta didakwa di mahkamah hari ini
Selepas seminggu tular rakaman video memandu kereta secara berbahaya, seorang peniaga dan anak lelakinya berusia 12 tahun akan didakwa di Mahkamah Sepang hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, pihaknya telah mendapat arahan untuk pertuduhan daripada Timbalan Pendakwa Raya setelah kertas siasatan dilengkapkan.
“Bapa kanak-kanak itu akan dituduh mengikut Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kanak-kanak itu pula didakwa mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan 1987,” katanya dipetik Sinar Harian.
Pada 3 Ogos lalu, polis memaklumkan pihaknya telah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk dilaksanakan pertuduhan.
Minggu lalu, siasatan kes yang berlaku di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong, Selangor itu juga dilapor dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
Ekoran itu, polis telah merekod keterangan tujuh individu termasuk bapa kanak-kanak berusia 53 tahun yang juga seorang peniaga.
Sebelum ini, tular satu rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun memandu kereta Perodua Viva dengan membawa dua adiknya berusia empat dan enam tahun.
Siasatan polis kemudiannya mendapati kejadian yang berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan raya itu berlaku kira-kira jam 8 malam, 28 Julai lalu.
BACA JUGA Takut ditangkap ‘polis’, warga emas rugi RM140,000 selepas tinggalkan nombor pin kad ATM