Teruja mahu tonton semua aksi, atlet negara serentak pula bersaing
Rakyat Malaysia malam ini mengadu di media sosial bahawa mereka teruja dan serba tidak kena mahu menyaksikan aksi para atlet negara yang muncul serentak bersaing di Olimpik Paris.
Susulan itu, nama penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri; atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan serta pelumba basikal trek negara, Shah Firdaus Sharom menjadi topik bualan malah muncul sohor kini di X.
Rata-rata warganet yang teruja memberitahu tidak dapat memberikan benar-benar tumpuan untuk menyaksikan percubaan atlet negara merebut pingat Olimpik kali ini.
“Saya cuba menonton Shah Firdaus dan Dhabitah pada masa yang sama,” tulis @syafyerms.
“My brain cannot lah! Dhabitah, Aniq, Shah Firdaus semua muncul dalam masa yang sama? Saya tak tau nak fokus mana ni,” kata @Shazzeleo sambil berkongsikan imej paparan tiga acara di skrin laptop beliau.
Setakat hari ini, pencapaian terkini atlet negara menyaksikan Dhabitah Sabri berjaya mara ke separuh akhir acara 3 meter papan anjal selepas menduduki tangga ke-12 kelayakan.
Sementara itu, Aniq Kasdan terlepas podium angkat berat apabila menduduki tangga keempat dengan hanya dibezakan satu kilogram dengan pemenang gangsa dalam kategori 61 kilogram Olimpik Paris.
Aniq mendapat jumlah angkatan keseluruhan 297kg, manakala atlet Amerika Syarikat, Hampton Morris di tempat ketiga dengan 298kg.
Shah Firdaus pula terpaksa bersaing dalam pusingan repechage apabila tewas kepada Mikhail Iakovlev pada pusingan pertama.
BACA JUGA Padah memandu kereta, budak 12 tahun diheret ke mahkamah