Kelantan lulus 13,000 hektar hutan ditarah, penduduk berisiko diancam binatang liar

Kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan 48 projek membabitkan keluasan 13,000 hektar hutan untuk dibuka dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin bimbang pelbagai ancaman binatang terpaksa dihadapi penduduk disebabkan habitatnya semakin mengecil jika dibiarkan banyak lagi pembukaan tanah.

Sehubungan itu, beliau mahu calon yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan memperjuangkan isu kemusnahan hutan di kawasan tersebut.

Menurutnya, lebih banyak tanah akan dibuka yang akhirnya menjejaskan kehidupan penduduk terutama Orang Asli sekiranya isu berkenaan tidak diperjuangkan dan diberi keutamaan.

“Apa yang Kuasa minta, calon yang menang tidak kira Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN), perlu ada komitmen tinggi dan membantu memperjuangkan isu kemusnahan hutan di DUN Nenggiri.

“Kita tidak mahu kelulusan tebang habis atau ‘cuci mangkuk’ dilakukan kerana terlalu banyak kesannya yang perlu ditanggung oleh penduduk setempat terutama di kawasan penempatan Orang Asli,” katanya, dipetik BH.

Pengurusan hutan di Kelantan paling teruk di Semenanjung.

Dalam masa sama, beliau berkata, Kelantan adalah negeri paling teruk di Semenanjung dari segi pengurusan hutan.

Jelasnya, pembalakan di Gua Musang dilakukan secara tebang habis sama ada pembukaan ladang baharu, lombong atau kuari berbeza dahulu yang dibuat secara terpilih.

Keluasan hutan di Kelantan semakin mengecil secara drastik sekaligus mendedahkan penduduk kepada ancaman binatang dan bencana alam.

“Kemusnahan hutan di Gua Musang termasuk Nenggiri amat dahsyat. Jika dilihat di Kuala Betis, beratus lori keluar masuk setiap hari.

“Kuasa sangat kecewa dengan kerajaan negeri yang dianggap tidak pernah mendengar desakan NGO.

“Sudah tentu kami membantah sekeras-kerasnya kelulusan hutan berkenaan yang boleh menimbulkan banyak masalah pada masa akan datang,” tegas Hafizudin lagi.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN), Mohd Syahbuddin Hashim mendedahkan terdapat 54 kelulusan penerokaan hutan yang membabitkan keluasan lebih 13,000 hektar dikatakan diluluskan kerajaan negeri sejak 2022 sehingga kini di kawasan DUN Nenggiri.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan dalam reaksinya memaklumkan terdapat 48 kelulusan penerokaan tanah yang dibuat dalam tempoh tersebut bukannya 54 kelulusan sebagaimana yang didakwa.

Fadzli berkata, kelulusan penerokaan tanah itu membabitkan prosedur dan peraturan yang ditetapkan.

BACA JUGA Terkejut tengok ustaz yang pernah doakan PN menang keluar TV