Terkejut tengok ustaz yang pernah doakan PN menang keluar TV
Kemunculan penceramah di televisyen yang sebelum ini pernah mendoakan kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya dipersoal.
Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi yang juga Pengerusi Kompleks Islam Dar Al Faizin (Kidaf) di Kedah itu bersiaran langsung di TV3 dan TV9 menerusi program Tanyalah Ustaz pagi ini.
Rata-rata mempertikai penonjolan penceramah yang ‘kantoi’ menyokong calon PN secara terang-terangan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Julai lalu.
Menerusi akaun TikTok Pas Cawangan Bertam Putra dengan kapsyen “Doakan Kemenangan Perikatan Nasional Esok”, Jafri memimpin doa bagi memohon kemenangan calon PN, Abidin Ismail.
“Ya Allah, Kau berikanlah kejayaan kepada persatuan kami. Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada perhimpunan kami, kepada perikatan kami Ya Allah.
“Ya Allah, jauhkanlah kami dari ancaman-ancaman musuh. Ya Allah, gagalkan perancangan musuh terhadap kami, Ya Allah,” doa Jafri lagi.
Malah, Pas Selayang pada 2022 turut menyiarkan rakaman video Jafri yang dipetik dari akaun TikTok penceramah berkenaan yang memberi panduan dan nasihat kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dia yang juga Mudir Maahad Dar alFaizin, Bandar Bharu, Kedah itu antara lain menasihatkan pengundi memilih pemimpin yang “mampu untuk menjaga agama”.
Menerusi rakaman itu, Jafri bagaimanapun tidak menyebut secara langsung agar pengundi memilih Pas atau PN.
BACA JUGA Ganasnya rusuhan anti Islam di UK, inilah akibat pempengaruh sebar maklumat palsu