Kes gagal isytihar 70 aset harta: Daim mohon penzahiran dokumen SPRM
Mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memohon kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini untuk mendapatkan penzahiran dokumen daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia berhubung kes tidak mengisytiharkan 70 aset harta dihadapinya termasuk tujuh kereta mewah seperti Mercedes Benz, Jaguar, Austin Morris dan Rolls Royce.
Peguam, M Puravalen yang mewakili Daim, 86, semasa prosiding di hadapan Hakim, Azura Alwi berkata, permohonan pertama dibuat kepada pendakwaan selaku responden untuk mendapatkan sesalinan notis kes, menerusi surat bertarikh 31 Januari lalu.
Namun, responden gagal atau enggan membekalkannya salinan dokumen itu sehingga ke hari ini.
“Saya tidak menerima sebarang maklum balas dan responden juga tidak mendedahkan aduan tersebut sebagaimana yang diwajibkan di bawah seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
“Hakikatnya, responden mempunyai kewajipan untuk membekalkan salinan berkenaan kerana ia membentuk asas kepada pengeluaran notis seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 yang telah membawa kepada pertuduhan ini.
“Demi keadilan, responden mesti mendedahkan aduan tersebut kerana ia berkemungkinan membantu kes saya dan/atau menjejaskan kes pendakwa raya,” katanya, dipetik Sinar Harian.
Ekoran itu, Daim yang juga kawan rapat Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membuat permohonan sama pada 31 Julai lalu.
Mendengar perkara berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan, permohonan terbabit telah diterima pada 6 Ogos lalu.
Dalam pada itu, beliau memohon Daim hadir dalam prosiding permohonan ini pada prosiding akan datang.
“Saya bimbang ia akan mengundang persepsi apabila tertuduh dalam kes ini tidak hadir ke mahkamah pada prosiding pendengaran kes.
“Anggap sahaja ini adalah latihan untuknya tampil ke mahkamah sebelum perbicaraan dibuat,” katanya.
Bagaimanapun, Puravalen membantah permohonan pendakwaan, dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan dengan pergerakan fizikal yang amat terhad.
“Mahkamah perlu memahami keadaannya yang sangat uzur,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 27 Ogos untuk pendengaran permohonan mendapatkan penzahiran dokumen.
Hakim turut membenarkan pengecualian pemilik Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur itu dalam prosiding akan datang.
Pada 29 Januari lalu, Daim didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Daim didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Selain tujuh kereta mewah, harta Daim yang terbabit dalam kes tersebut ialah 38 syarikat antaranya Ibu Kota Developments Sdn Bhd, Menara Ampang Sdn Bhd dan Avillion Berhad, 25 hartanah dan tanah di bawah syarikat di Kuala Lumpur, Ampang, Raub, Pahang dan Kuala Muda Kedah serta akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).
BACA JUGA Tercorot dan tertinggi di Terengganu, Mahfuz letak emoji bagus dan ketawa