Laporan Tesla batal bina kilang di Asean – Ini reaksi MITI
Laporan berita dari Thailand berhubung keputusan Tesla untuk tidak membina kemudahan pembuatan kereta elektrik (EV) di mana-mana negara Asean termasuk Malaysia mengejutkan banyak pihak.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam maklum balasnya berkata, berkemungkinan itu adalah keputusan komersial syarikat multinasional itu berhubung operasi globalnya.
Menurut MITI, tindakan Tesla itu tidak mencerminkan pembaharuan industri dan landskap pelaburan lebih baik yang telah diusahakan oleh MITI dan agensinya sejak Disember 2022.
“Perlu juga diambil perhatian bahawa laporan berita mengenai pembatal rancangan bina kilang di Thailand, Indonesia, Malaysia bukanlah kenyataan rasmi daripada Tesla tetapi memetik sumber yang tidak dinamakan.
“Pengesahan mengenai laporan itu perlu datang dari Tesla,” kata jurucakap MITI lagi.
Terdahulu, akhbar Thailand, The Nation melaporkan Tesla tidak akan membina kemudahan pembuatan EV sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia.
Lapor media itu berdasarkan sumber kerajaan Thailand, pengeluar EV tersebut sebaliknya hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.
Sebelum ini, Tesla dilaporkan bersedia untuk melabur AS$5 bilion untuk hab pembuatan Asia Tenggara dan memilih Thailand sebagai lokasi pilihan.
Pada masa sama, Malaysia dan Indonesia juga menawarkan peluang untuk Tesla membuka kemudahan pengeluaran mereka.
“Tesla pada masa ini hanya membincangkan stesen pengecasan, dengan rancangan kilang itu digantung bukan sahaja di Thailand tetapi di seluruh dunia.
“Mereka tidak meneruskan di Malaysia, Indonesia atau di mana sahaja kecuali di China, Amerika dan Jerman,” kata sumber itu lagi.
BACA JUGA Majikan yang naikkan gaji layak dapat insentif gaji progresif