Majikan yang naikkan gaji layak dapat insentif gaji progresif
Majikan yang menaikkan gaji untuk mematuhi Dasar Gaji Progresif layak mendapat insentif disediakan kerajaan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa ramai yang tidak tahu bahawa kerajaan telah menetapkan gaji permulaan yang perlu dipatuhi sektor swasta.
Menurutnya, kenaikan gaji untuk mematuhi tangga gaji di bawah dasar terbabit adalah ditanggung kerajaan.
“Kita ni selalu bising pasal gaji, tapi bila ada peluang naik gaji, kita tak gunakan. Ramai yang tidak tahu kerajaan telah menetapkan gaji permulaan yang perlu dipatuhi pihak swasta di bawah Dasar Gaji Progresif.
“Mana-mana majikan yang menaikkan gaji untuk mematuhi tangga gaji ini layak mendapat insentif gaji progresif yang perlu dibayar kepada pekerja, supaya kenaikan gaji itu ditanggung oleh kerajaan,” katanya menerusi ciapan di akaun X.
Dalam masa sama, Rafizi turut berkongsikan kadar gaji permulaan mengikut kelayakan di bawah Dasar Gaji Progresif iaitu Jurutera Mekanikal (RM3,380 sebulan); Jurutera Awam (RM3,115); Akauntan dan Juru Audit (RM3,280); Ahli Nujum (RM2,205) dan Juruteknik Kejuruteraan Awam (RM2,470).
Beliau berkata, untuk senarai penuh gaji permulaan di bawah Dasar Gaji Progresif, Buku Panduan Gaji Pokok Permulaan dan Kenaikan Tahunan boleh dimuat turun daripada pautan https://gajiprogresif.gov.my.
BACA JUGA Kelantan lulus 13,000 hektar hutan ditarah, penduduk berisiko diancam binatang liar