Kes pempengaruh di Kelantan pecah masuk rumah bekas suami: Polis lengkapkan siasatan

Polis sedang melengkapkan siasatan kes membabitkan seorang pempengaruh media sosial wanita yang didakwa memecah masuk rumah bekas suaminya, 22 Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, kertas siasatan itu akan dihantar kepada pihak pendakwa raya untuk didakwa di mahkamah.

Jelasnya, pihak polis sedang membuat siasatan bagi mengesan barang mangsa yang hilang.

“Siasatan kes berjalan dengan lancar kerana wanita itu (suspek) mengaku masuk ke rumah bekas suaminya dan pihak kita sedang mengesan barang mangsa yang hilang.

“Suspek sedang direman dan kertas siasatan yang lengkap akan dihantar ke pihak pendakwa raya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Balai Polis Kok Lanas di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, pempengaruh media sosial berusia 20-an dilapor telah direman enam hari bermula kelmarin sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes pecah masuk rumah bekas suami dan bekas madunya, di Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, wanita itu ditahan susulan laporan daripada bekas madu wanita itu pada jam 9.47 malam, 4 Ogos lalu, yang mendakwa rumahnya dipecah masuk pada 11.30 malam, 22 Julai lalu.

BACA JUGA Laporan Tesla batal bina kilang di Asean – Ini reaksi MITI