Poster ucapan hari Merdeka teruk dikritik, papar KLCC kembar tiga

Satu poster ucapan Hari Merdeka yang dipaparkan pada sebuah papan iklan digital di kawasan Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur teruk dikritik orang ramai.

Ia selepas visual poster itu didapati dijana dengan bantuan kecerdasan (Al) sehingga KLCC dilakar mempunyai tiga menara berkembar.

Perkara tersebut menimbulkan rasa kurang senang ramai yang mempersoal ketelitian syarikat pengiklanan terbabit sebelum memaparkannya pada papan iklan digital.

Lebih memburukkan keadaan, poster itu adalah poster rasmi yang dibuat untuk Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Susulan itu pejabat itu turut terpalit dengan kecaman kerana didakwa tidak menunjukkan semangat patriotik yang sepatutnya sehingga poster pun dijana menggunakan Ai.

“Kalau poster pun buat pakai Ai, KLCC ada tiga, pemalas sangat ke ambil je gambar Google asalkan gambar asli? Shutterstock, Freepik even Pexels yang gambar percuma untuk diguna pun banyak yang elok.

“Dah la poster rasmi dari cawangan PDRM, kamu semua tu badan beruniform rasmi,” kata seorang pereka grafik, Adib Mazlee yang pertama memuat naik kesilapan poster pada papan iklan tersebut.

Berikutan itu, syarikat pengiklanan tersebut telah tampil membuat permohonan maaf di Facebook atas kesilapan mereka.

“Kami memohon maaf di atas segala kekeliruan yang timbul dan ingin memaklumkan mengenai isu yang berlaku dengan visual ucapan ‘Selamat Hari Kebangsaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields’ yang dipaparkan pada skrin di Hartamas.

“Kami telah mengenal pasti akan kesalahan dalam visual yang dipaparkan pada skrin tersebut dan telah segera memadam visual berkenaan.

“Kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang mungkin timbul dan akan menilai semula prosedur untuk mengelakkan sebarang masalah yang serupa pada masa akan datang,” kata kenyataan itu.

BACA JUGA Melampau label DAP ‘kafir harbi’, Pas didesak mohon maaf

Â