Kantoi peras ugut peniaga burger RM90, dua polis pangkat koperal ditahan

Gara-gara memeras ugut sebanyak RM90 dari seorang peniaga burger sambilan, dua anggota polis ditahan selepas kegiatan mereka terkantoi.

Dilaporkan, kejadian berlaku ketika peniaga burger tersebut yang menunggang motosikal sedang dalam perjalanan menghantar pesanan tiga biji burger ke pelanggannya di Bukit Tinggi, Klang.

Peniaga lelaki berusia 22 tahun itu kemudiannya ditahan anggota polis yang menaiki kereta peronda sebelum susur masuk Bandar Puteri di Kesas, kira-kira pukul 1.10 pagi, Selasa lalu.

“Hasil siasatan mendapati cukai jalan motosikal ditunggangi peniaga burger tersebut telah tamat tempoh pada 15 Mac lalu.

“Anggota polis terlibat telah menggunakan alasan tersebut bagi membuat peras ugut sejumlah wang untuk mengelakkan motosikal peniaga itu disita.

“Selepas berbincang, peniaga burger kemudiannya telah memasukkan wang tunai sebanyak RM90 ke dalam plastik berisi burger dan menyerahkan kepada anggota polis tersebut,” kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong.

Pihak polis telah menerima laporan berhubung kejadian daripada lelaki berusia 22 tahun itu pafa jam 10 malam Selasa lalu.

Jelas beliau, kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebat sekiranya disabitkan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-33762222 atau hadir mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya

BACA JUGA Label DAP kafir harbi: Pas enggan minta maaf, pengacara majlis digantung