Label DAP kafir harbi: Pas enggan minta maaf, pengacara majlis digantung

Susulan kebiadaban pengacara majlis Pas yang melabel DAP “kafir harbi”, Perikatan Nasional (PN) dilaporkan telah pun menggantung sementara individu tersebut daripada terbabit program ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.

Pengarah Operasi PN bagi PRK DUN Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa, berkata individu itu direhatkan selama tiga hari bermula kelmarin dan tidak akan terbabit sebarang ceramah kempen mereka sepanjang tempoh tersebut.

Ucapan individu itu yang dipercayai ahli Pas tersebar di media sosial sehingga mengundang kemarahan termasuk ahli-ahli DAP beragama Islam.

Annuar berkata, pengacara majlis itu telah “tersalah cakap”.

“Beliau tersalah cakap. Dalam PRK, kita tidak mahu ada sebarang sentimen ataupun kekeruhan. 

“Justeru, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan kepada saya bahawa kita meminta orang kita bertenang dan itu menjadi peringatan kepada yang lain-lain.

“Kita akan kekal berkempen dengan cara penuh beretika, termasuk oleh penceramah dan juruacara,” katanya kepada media selepas ceramah kempen Nenggiri malam tadi.

Semalam, DAP – Syahredzan Johan, Young Shefura, dan Sheikh Umar – mendesak agar satu permohonan maaf dibuat kepada ahli-ahli DAP beragama Islam kerana tuduhan melampau melabel mereka sebagai kafir harbi.

Ucapan yang dianggap menyebarkan pengaruh takfiri itu tidak sepatutnya berlaku.

Bagaimanapun, Annuar berkeras untuk tidak memohon maaf kerana menurutnya ia adalah pendapat individu dan bukan pendirian parti.

Beliau juga mengaitkan dengan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tersasul menyebut ‘hidup Israel’ dalam satu himpunan baru-baru ini.

“Pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tersasul menyebut ‘hidup Israel’ pun masih lagi memegang jawatan,” katanya balik.

BACA JUGA Kalau hutang berkurang, kenapa makin tinggi? Ini jawapan Rafizi buat ‘walaun’

Â