Rupanya ada himpitan terlalu agresif, pacer pula lembab, ini penjelasan penuh Azizulhasni

Pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil memberi penjelasan selepas disingkirkan seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint Quentin.

Penyertaan bapa kepada dua cahaya mata itu dibatalkan selepas didapati memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek sekali gus memaksa perlumbaan dimulakan semula tanpa penyertaan Azizulhasni.

Menerusi catatan di Facebook beliau hari ini, pemenang pingat perak dan gangsa di Olimpik Tokyo 2020 dan Rio 2016 berkenaan memberitahu situasi sebenar yang berlaku:

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya percaya ramai yang tertunggu-tunggu penjelasan apakah yang berlaku di dalam pusingan pertama acara Keirin saya semalam. Saya cuba ringkaskan seboleh mungkin.

1- Ketika draw dibuat saya mendapat posisi terakhir iaitu enam, saya kekal tenang dan untuk berlumba dengan posisi tersebut ada perancangannya.(Shah juga mendapat posisi keenam dalam heat beliau).

2- Hasil perbincangan bersama jurulatih John Beasley, plan terbaik adalah untuk terus ke hadapan dan cuba mendapatkan posisi paling hadapan seawal mungkin.

3- Ini adalah kerana ada beberapa pelumba front runner (senko) berada di hadapan. Jika pelumba hadapan terus memecut awal, ianya akan meletakkan saya di situasi sukar untuk bergerak ke hadapan pada kelajuan tinggi berdasarkan beberapa pelumba yang berada di hadapan saya.

4- Akan ada possibility blocking dan gapping dari beberapa pelumba hadapan jika saya menggunakan taktik menunggu.

Jadi, saya harus memilih taktik terbaik untuk meningkatkan kemungkinan untuk menang, dan bergerak awal. Ini juga saya ada lakukan ketika pusingan awal di Olimpik Tokyo dahulu.

5- Berbaki satu pusingan sebelum pacer keluar saya sudah bergerak ke hadapan secara perlahan-lahan dari belakang, ini sama ketika saya lakukan di perlumbaan Asian Championships di Kuala Lumpur dahulu juga.

Perancangannya adalah untuk bergerak ke hadapan dan berada di sebelah luar pelumba pertama atau kedua dan selepas pacer keluar saya akan terus memecut untuk merebut kedudukan posisi paling hadapan (pertama).

6- Namun, ketika melepas selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, saya dihalang dengan himpitan dari pelumba France.

Himpitan itu terlalu agresif dan bagi saya ianya adalah intentionally aggressive kerana melanggar saya (boleh rujuk gambar) dan saya hampir terjatuh. Saya terselamat daripada jatuh merana quick reaction dan good handling skill yang saya ada.

7- Tidak cukup dengan itu, beliau masih mengekori rapat di sebelah dan masih cuba memberikan himpitan kedua dan di dalam keadaan seperti itu reaksi saya adalah bergerak ke hadapan untuk mengelak dari beliau.

8- Sebagai seorang pelumba Keirin yang elit, kita tahu speed/kelajuan untuk pacer sebelum keluar. Biasanya di lap terakhir pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh empat dari kelajuan 50-55kmh. Akan tetapi pada perlumbaan saya tadi, pacer bergerak lebih perlahan berbanding speed sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat.

9- Saya yang tengah bergolak dengan pelumba France itu perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut, dan cuba back pedal sebagai cara untuk breaking akan tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti yang diinginkan.

10- Berdasarkan rule perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di pursuit line iaitu line halus di tengah front stretch (bukannya starting line)

11- Adakah tayar belakang saya memotong pacer sebelum pacer keluar? Jawapan saya adalah ya akan tetapi ianya adalah unintentionally dan juga ianya adalah disebabkan oleh dua keadaan iaitu pertama blocking dan himpitan berterusan dari pelumba France dan keduanya adalah kerana pacer bergerak pada kelajuan hanya 40-45kmh dan tidak pada kelajuan sepatutnya dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan.

12- Jurulatih John Beasley dan Pengurus Pasukan Izham Mohammad terus berjumpa dengan pihak panel komisar sejurus kejadian dan menjelaskan keadaan dan memohon untuk mereka review kembali video perlumbaan dan keputusan. Namun, mereka memilih untuk kekal dengan keputusan yang sama.

13- Ada tak keadaan di mana pelumba melakukan kesalahan terang secara sengaja atau tidak sengaja yang menyalahi undang-undang perlumbaan tetapi tidak dikenakan kesalahan atau diberikan peluang oleh panel komisar? Jawapannya ada.

Boleh rujuk perlumbaan semi-final sprint antara pelumba great britain dan holland dan juga perlumbaan quarterfinal antara pelumba great britain dan Jepun.

14- Keadaan juga mengingatkan saya kembali kepada perlumbaan keirin final di Olimpik Rio dimana perlumbaan harus diberhentikan sebanyak dua kali dan dimulakan kembali tanpa seorang pun pelumba dikeluarkan dari perlumbaan.

15- Sukan lumba basikal track memang keputusan mutlak daripada panel komisar. Walaupun suatu ketika dahulu jurulatih dan pasukan boleh membawa hujah dan video untuk di review kembali akan tetapi sampai pada suatu ketika semuanya diubah sepenuhnya.

16- Moving forward, saya berharap semua dapat berikan sokongan dan doa kepada rakan sepasukan saya Shah Firdaus yang menggalas tanggungjawab dan harapan baru untuk membawa pulang pingat emas untuk kontinjen Malaysia.

17- Saya percaya Shah Firdaus mampu melakukannya💪🇲🇾❤️

BACA JUGA Rupanya berlaku himpitan terlalu agresif, ini penjelasan Azizulhasni