Kasihannya tiga anak cikgu mangsa bunuh, depan ayah nampak tenang tapi di sekolah…
Kasihannya tiga anak guru, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang menjadi mangsa bunuh.
Mohd Yusof Mokhtar, 35, memberitahu tiga anaknya yang berusia empat, enam dan sembilan tahun dapat menerima berita mengenai pemergian ibu mereka dengan tenang dan redha.
Namun, rupanya anak kedua beliau bersedih di sekolah lantaran rindukan ibunya.
“Alhamdulillah, semalam, saya ada tunjuk berita di televisyen, mereka dah tahu ibu mereka meninggal dunia.
“Cuma, saya tahu ada anak saya nampak baik-baik saja di hadapan saya, tetapi di sekolah mereka lain, mungkin nak rahsiakan perasaan mereka.
“Bila ada yang cakap anak kedua saya bersedih di sekolah, saya ada tanya dia, katanya betul dia sedih sebab dia rindu ibunya,” katanya, dipetik BH.
Nasib yang menimpa Istiqomah dengan keadaan mayatnya tanpa kepala ditemui dalam tong sampah di longkang tepi Jalan Alor-Gajah-Tampin pada 31 Disember 2023 menggemparkan negara.
Sehubungan itu, polis menahan suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak, pada 5 Ogos lalu.
Kedua-duanya direman enam hari sehingga semalam, sebelum reman ke atas suspek lelaki disambung selama tujuh hari lagi bermula semalam bagi melengkapkan siasatan.
Sementara itu, isterinya dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada kaitan dengan kes.
BACA JUGA ‘Ambo sohor di Malaya’, Annuar Musa bangga pakaian sepanjang kempen jadi bualan