Saman Kesedar terhadap Takiyuddin tetap diteruskan
Pengerusi Lembaga Kelantan Selatan (KESEDAR) Datuk Zawawi Othman meneruskan saman terhadap Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkait pemilikan tanah agensi berkenaan yang dijadikan modal berkempen parti Pakatan Nasional (PN).
Jelasnya, setakat ini pihak peguamnya sedang membuat penilaian sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap pemimpin parti pembangkang itu.
“Kita sudah lantik peguam. Peguam saya akan maklumkan tindakan lanjut akan diambil terhadap Takiyuddin.
“Kita akan perbetulkan apa yang mereka kata (berhubung tuduhan terhadap KESEDAR). Kita akan buat tuntutan atas nasihat peguam,” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas perbuatan Takiyuddin yang menggelarnya `pondan’ jika isu itu dibawa ke mahkamah, Zawawi berkata beliau mahu isu yang dibangkitkan ketika pilihan raya dijawab di ceramah politik.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Kota Bharu itu tidak wajar mengeluarkan kenyataan tidak bermoral dengan menggelar seseorang individu seperti itu.
“Sepatutnya ucapan tak bermoral tidak sepatutnya berlaku. Menyatakan sifat saya yang pondan adalah imej yang tak baik,” katanya.
Dalam masa sama, Zawawi membidas pemimpin Pas yang jahil dalam soal isu pemilikan tanah apabila memainkan isu tanah peneroka KESEDAR.
Sebelum ini, Takiyuddin dilapor mengesahkan dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Gua Musang bagi melengkapkan siasatan berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya.
BACA JUGA SUKMA 2024: Lapan emas jadi rebutan esok, empat negeri ini dijangka mendominasi