SUKMA 2024: Lapan emas jadi rebutan esok, empat negeri ini dijangka mendominasi
Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal bermula secara rasmi di Sarawak pada 17 Ogos ini hingga 24 Ogos menyaksikan acara wushu dan berbasikal lebuh raya menawarkan kilauan pingat pertama temasya dwitahunan itu esok.
Kedua-dua sukan itu dijangka menjadi tumpuan utama apabila barisan atlet terbaik dari seluruh negara bersaing untuk meraih emas berprestij.
Sejumlah enam pingat emas dalam disiplin taolu (rutin) menjadi rebutan esok bagi sukan wushu yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan, selain memerlukan kemahiran tinggi, ketepatan dan fokus mental luar biasa.
Penonton bakal teruja menyaksikan pergerakan elegan dan bertenaga dalam setiap kategori yang dipertandingkan, sama ada dalam bentuk taolu mahupun sanda (pertempuran) dan gelanggang akan ‘dibuka’ seawal 9 pagi di Dewan Wushu SSC, Petra Jaya.
Melaka, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak adalah antara yang disebut-sebut bakal mendominasi acara itu berdasarkan prestasi cemerlang dalam edisi terdahulu.
Sementara itu, Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem, yang menjadi pentas utama acara berbasikal lebuh raya, bakal dihangatkan menerusi acara ujian masa lelaki dan wanita, dengan para pelumba dijangka dilepaskan pada 9 pagi.
Wushu dan berbasikal lebuh raya masing-masing menawarkan keseluruhan 28 dan lapan emas pada edisi ke-21 kali ini.
Dengan dua acara itu yang memulakan carta pungutan pingat SUKMA 2024 dan beberapa sukan yang telah pun berlangsung dan akan bermula seperti bola sepak lelaki, kriket, boling padang, bola sepak wanita, futsal dan sepak takraw; Sarawak bersedia untuk menyaksikan sejarah sukan baharu.
Semangat kesukanan tinggi dan persaingan yang sihat akan menjadi tema utama, manakala setiap emas yang dimenangi akan menjadi simbol usaha keras, dedikasi, dan semangat juang atlet negara.
Semua mata akan tertumpu pada acara wushu dan basikal lebuh raya esok, dengan harapan tinggi bahawa emas pertama akan menjadi inspirasi kepada atlet lain untuk terus berjuang sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara di arena SUKMA.
SUKMA 2024 yang dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak, menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 (wanita) dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain dijangka menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.
SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.
BACA JUGA Kasihannya tiga anak cikgu mangsa bunuh, depan ayah nampak tenang tapi di sekolah…