Cleopatra tak pernah nikahi bekas Timbalan KPN, perkahwinan tak wujud – mahkamah
Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memutuskan personaliti media sosial, Cleopatra atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, tidak pernah berkahwin dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin.
Mahkamah mendapati perkahwinan antara dua Individu itu tidak pernah wujud.
Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cleopatra berkata, mahkamah memutuskan demikian berdasarkan penafian yang dibuat anak guamnya dan responden.
Disebabkan pernikahan itu tidak wujud, hakim tidak memiliki bidang kuasa untuk menilai dokumen pernikahan mereka yang dilampirkan sama ada sah atau tidak.
“Memandangkan kedua-dua belah pihak menafikan pernikahan itu maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk “entertain” (membuktikan) kerana perkahwinan itu tidak pernah berlaku.
“Hakim tidak menjurus kepada perkara itu (kesahihan sijil pernikahan) dan menyerahkan kepada polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengenai tindakan susulan, hakim syarie hanya fokus kepada pernikahan ini wujud atau tidak selepas kedua-dua pihak memaklumkan tidak pernah ke seberang (Thailand) dan wali anak guam tidak pernah ikut ke sana,” katanya.
Sebelum ni tular satu sijil nikah didakwa antara Cleopatra dengan Mohd Bakri.
Susulan itu, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mendapatkan pengesahan status pernikahan dan sijil nikah yang diperoleh
Sementara itu, Nur Fathiah menyatakan kesyukuran di atas keputusan mahkamah itu sekali gus mengesahkan status dirinya yang tidak pernah berkahwin dengan Mohd Bakri.
“Saya harap pihak berkuasa menyiasat kewujudan sijil nikah palsu itu dan saya telah membuat laporan polis berhubung perkara terbabit,” katanya, ketika ditemui di luar mahkamah.
BACA JUGA Selepas JP Morgan, Goldman Sachs pula naik taraf pasaran saham Malaysia