Selepas JP Morgan, Goldman Sachs pula naik taraf pasaran saham Malaysia

Sebelum ini JP Morgan dilapor telah meningkatkan penarafan Malaysia kepada ‘neutral’ selepas hampir enam tahun negara berada pada tahap ‘underweight’ susulan langkah berani kerajaan dalam membangunkan ekonomi.

Terbaharu, analisis oleh Goldman Sachs pula menyebut bahawa suasana pelabur terhadap Malaysia telah bertambah baik kini selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Perdana Menteri, sekaligus membawa kestabilan politik.

Menurut laporan Utusan Malaysia, berikutan itu Goldman Sachs telah menaik taraf pasaran saham Malaysia kepada wajaran sama (equal weight) berikutan sifat defensif pasaran tempatan apabila melibatkan kejutan luaran.

“Ekonomi Malaysia yang semakin teguh dan mata wang yang lebih kukuh juga meningkatkan keyakinan terhadap aset tempatan,” kata analisis itu selain menyebut Singapura telah diturun taraf sebagai ‘underweight’.

Pakar strategi CGS-CIMB, Chehan Perera berkata, warga asing adalah penjual bersih saham Malaysia dalam lapan daripada 10 tahun lalu apabila skandal 1MDB dan pertukaran pemimpin menimbulkan kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik.

“Mereka telah menjual saham bernilai hampir AS$68 juta bulan ini.

“Kami melihat ini sebagai peluang belian yang jarang berlaku dalam saham Malaysia di tengah-tengah kesinambungan dasar, peningkatan penghantaran pendapatan dan peningkatan mata wang tempatan,” ujarnya memetik portal Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia melaporkan, saham-saham di Asia menyaksikan penjualan bersejarah pada Isnin minggu lalu disebabkan kebimbangan terhadap kemelesetan AS dan saham-saham berteknologi tinggi, serta yen yang bangkit semula menyebabkan strategi pendanaan global dihentikan secara besar-besaran.

Keadaan itu, yang lebih ketara daripada yang dilihat di AS dan Eropah telah memaksa pelabur untuk menilai semula penglibatan mereka.

BACA JUGA Didakwa bakal dilantik Menteri Ekonomi gantikan Rafizi, apa kata Aminuddin?