Ketagih perhatian, nampak tersakiti – Siapa MP yang dimaksudkan?

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal disifatkan sebagai ‘ketagih perhatian’ apabila mencabar Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berdebat mengenai isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd kepada BlackRock Inc.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Ahli Parlimen Machang berkenaan sepatutnya lebih arif mengenai peraturan jika ingin berdebat tentang sesuatu isu.

“Dia adalah seorang yang ketagih perhatian dan dia kalau nak debat sepatutnya janganlah bawa surat layang ke Parlimen.

“Dia sepatutnya datang ke Parlimen dan berbahas mengikut peraturan tapi saya nampak dia sekarang tersakiti.

“Lagipun saya rasa dia seorang yang ketagih perhatian dan nakkan orang ramai melihat dirinya,” ujarnya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jejak Panda oleh Foodpanda Malaysia di Pantai Dalam di Kuala Lumpur semalam.

Terdahulu, Wan Fayhsal mencabar Fahmi dan Rafizi bagi menjawab persoalan berkaitan isu penggantungan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat pada Julai lalu.

Cabaran Wan Fayhsal itu selepas Rafizi mengajaknya berdebat mengenai topik ‘kesan merancakkan ekonomi dengan mencetak wang’ di platform audio siar.

BACA JUGA Dakwaan MB Perlis ‘diarah’ letak jawatan, ini reaksi Mohd Syukri