Pelik tiba Maghrib batuk teruk, kuku Wak Doyok pula dah kebiruan

Selebriti Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd Azwan Mohd Nor pelik apabila mengalami batuk teruk sejurus masuknya waktu Maghrib.

Malah, kuku ikon media sosial itu sudah jadi kebiru-biruan yang menurut Wak Doyok itu adalah ciri santau yang nyata.

Pernah dikaitkan dengan bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim dan penerbit Datuk A Aida, beliau berkata, kesihatannya merosot, namun pada awalnya disangka hanya sakit biasa.

“Saya baru sahaja pulih daripada gangguan mistik. Saya kena santau angin. Bukan nak tuduh, tapi saya sudah banyak kali bertemu doktor, tapi makan ubat tetap tak pulih.

“Jadi, saya buat rawatan alternatif. Saya pelik bila waktu Maghrib, saya batuk teruk. Tekak gatal, kering dan bila malam sahaja susah nak tidur.

“Alhamdulillah, kini saya sudah beransur pulih, cuma kena berpantang. Saya tak boleh makan makanan bercucuk,” dipetik BH Online.

Wak Doyok kini dalam proses pemulihan akibat gangguan sihir.

Pelakon filem ‘Abang Long Fadil 2’ itu berkata, dia percaya apa yang dialami akibat terkena santau kerana ciri-ciri gangguan jelas dan nyata ada pada dirinya.

“Sekarang saya masih pulihkan keadaan diri dan lindungi daripada sihir,” katanya.

Mengulas sama ada tahu siapa yang melakukannya, Wak Doyok, 45, berkata, dia tidak tahu tetapi sedia memaafkannya.

“Saya tidak tahu siapa yang hantar sihir, mungkin kenalan terdekat. Saya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, jauh sekali nak berhutang.

“Saya berhutang dengan bank sahaja. Mungkin daripada mata dan percakapan pun boleh jadi sihir juga.

“Saya terima dengan hati terbuka dan minta doa daripada emak. Saya juga berdoa agar pulih seperti sedia kala dan boleh bekerja untuk menampung keluarga,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Wak berkata pihak yang bermain sihir itu kena jawab dengan Allah atas perbuatannya,” katanya.

Malah, kata Wak, rakan kongsinya turut terkena tempias perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Biasalah orang berniaga macam kami. Kalau buat jahat seperti merosakkan kereta atau langgar, mungkin orang nampak. Buat perkara ghaib tak nampak.

“Jadi, saya ikhtiar untuk pulih sahaja. Penat juga berulang-alik, tapi saya percaya ia tak boleh bawa mati.

“Saya usaha untuk pulih daripada berdiam diri tak buat apa, mungkin ia akan makan dalam. Bimbang juga jadi lebih parah,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Selepas 21 kali transaksi RM174,000, penganggur di Kedah ini baru ‘tersedar’