Selepas 21 kali transaksi RM174,000, penganggur di Kedah ini baru ‘tersedar’
Selepas enam tahun dengan sebanyak 21 kali transaksi ke akaun bank, seorang penganggur di Kuala Ketil, Baling, Kedah baru ‘tersedar’ dia ditipu dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ibarat nasi sudah menjadi bubur, dia terpedaya dengan skim pelaburan yang diperkenalkan oleh seorang rakannya.
Mangsa berusia 33 tahun itu mula ‘melabur’ sebanyak RM10,000 pada Disember 2018, menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintendan Loi Yew Lik.
“Pengadu telah membuat bayaran modal sebanyak 21 kali transaksi ke akaun bank sama hingga berjumlah RM174,270 dan tidak mendapat sebarang keuntungan.
“Pengadu dijanjikan mendapat keuntungan dalam tempoh masa sebulan.
“Namun, sehingga laporan polis dibuat pengadu tidak menerima sebarang pulangan dan mulai curiga serta syak dirinya ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Ketil pada 5.49 petang.
Menurut Yew Lik, siasatan polis mendapati pelaburan itu adalah palsu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan yang lumayan agar tidak menjadi mangsa sindiket pelaburan yang tidak wujud.
Tambahnya, semakan boleh dibuat dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat pelaburan.
BACA JUGA Terkejut ada pihak sudi taja umrah, memang rezeki Shah Firdaus