Pulak dah, Azizulhasni dedah langgar permintaan ibu, isteri dan anak-anak

Meskipun sudah lima hari berlalu tidak dapat membawa pulang pingat emas sulung negara di Olimpik Paris 2024, Datuk Azizulhasni Awang masih dalam kesedihan.

Jaguh berbasikal trek negara itu belum luntur kekecewaannya dengan insiden memotong ‘pacer’ di heat pertama pusingan awal acara keirin yang mengakibatkan dirinya tersingkir, sekali gus percubaan meraih emas terkubur.

Bapa kepada empat cahaya mata berkenaan hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal merealisasikan harapan membawa pulang pingat emas.

Menurutnya, proses persiapan menjelang Paris 2024 berjalan lancar dan sentiasa memainkan gambaran positif dalam usaha menyediakan sebuah cerita manis buat Malaysia dan kariernya.

Walau bagaimanapun, semua itu tidak berhasil seperti dirancang apabila insiden berkenaan menyebabkan dirinya disingkirkan.

“Saya tidak dapat mencari perkataan untuk menggambarkan perasaan yang saya alami pada detik itu. Tidak pernah saya terfikir yang perkara seperti ini akan berlaku.

“Saya hadir ke Paris dengan penuh harapan dan membawa misi penting negara tercinta.

Azizulhasni menitiskan air mata di KLIA hari ini selepas penyertaan di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Mungkin ada yang kata harapan terlalu tinggi dan terlalu besar membuat saya hilang kawalan. Tidak sama sekali, semuanya berada di dos yang sepatutnya.

“Saya teringat janji-janji kepada ibu, isteri dan anak-anak yang ini merupakan penampilan Sukan Olimpik terakhir ketika mana mereka semua meminta untuk saya bersara selepas pulih dari pembedahan jantung dahulu.

“Saya terfikir, adakah ini semua berlaku kerana melanggari permintaan mereka dahulu.

“Dari awal karier sehingga sekarang mereka inilah sumber kekuatan untuk saya meneruskan perjuangan sehingga mampu menjadi antara terbaik di puncak dunia,” kata Azizulhasni dalam hantarannya di media sosialnya.

Pada 10 Ogos lalu, Azizulhasni yang dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman disingkirkan seawal saringan pertama acara keirin lelaki di Velodrom Saint Quentin.

Penyingkiran pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu sekaligus menoktahkan penantian emas negara pada temasya di Paris tahun ini.

BACA JUGA Kronologi pengharaman komik Superman Hew