Terkejut ada pihak sudi taja umrah, memang rezeki Shah Firdaus
Sebelum ini pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom sebak kerana tidak dapat menunaikan janji untuk mengerjakan umrah bersama ibunya selepas gagal pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau terkejut apabila ada pihak sudi menajanya menawarkan pakej umrah kepada Shah Firdaus pada bila-bila masa.
Katanya yang gagal meraih emas dalam acara keirin, tajaan Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) itu disifatkan sebagai hadir tepat pada waktunya.
“Saya akan bincang dengan John Beasley (ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara) sebab selepas ini saya ada Kejohanan Dunia dan yang lain dan kita tengok nanti.
“Ini kerana (Tanah Suci) tempat terbaik untuk saya bertenang semula kerana dalam beberapa hari ini, saya tak tengok media sosial… tengok video perlumbaan yang orang tag saya, saya swipe banyak fasal perlumbaan,” katanya, dipetik BH.
Anak kelahiran Muar, Johor itu berkata, beliau tidak mahu mengingati detik tersebut dan cuba melangkah ke hadapan.
“Jadi, saya rasa itu tempat terbaik saya (dengan menunaikan umrah).
“Hasrat saya nak pergi (menunaikan umrah), jadi ia tercapai juga. Mungkin ini… setiap yang berlaku ada sebabnya, jadi ini antara sebabnya. Saya akan pergi tahun ini juga.
“Saya akan pertimbangkan sama ada akan ke Kejohanan Dunia ataupun tidak, kalau tak ke Kejohanan Dunia (Oktober di Ballerup, Denmark), saya akan pergi umrah,” tambahnya lagi.