Azmawi masih ‘underdog’ dua hari sebelum PRK Nenggiri
Calon BN Mohd Azmawi masih ‘underdog’ meskipun tinggal dua hari untuk berkempen sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada hari Sabtu, kata pengarah pilihan raya BN Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau yang lebih mesra sebagai Ku Li mengakui bahawa sentimen di bawah kekal menyebelahi Perikatan Nasional. Gua Musang merupakan kubu politik beliau selama lebih 50 tahun.
Pemimpin Umno veteran tersebut mewakili Gua Musang sejak tahun 1974 sehingga 2022.
Perikatan Nasional mempertaruhkan mantan ketua pemuda Pas Rizwadi Ismail yang Bersama Bersatu sekarang.
“Pilihan raya kecil ini penting kerana kita dipertanggungjawabkan untuk bertahan berdepan badai gelombang hijau Pas yang memukul negeri-negeri Melayu dalam dua tahun kebelakangan ini,” kata beliau Ketika ditemui di kediamannya di Bukit Cekati, Gua Musang.
Beliau memberitahu Harapan Daily bahawa sayap Pemuda Umno telah dipertanggungjawabkan untuk untuk menahan badai pihak lawan yang menggunakan sentimen kaum dan agama. Namun begitu beliau mengakui ia satu pertarungan yang sukar.
“Kita terpaksa berdepan sentimen ketidakpercayaan Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Perkara ini dirumitkan dengan permasalahan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi di peringkat akar umbi. Kita perlukan langkah proaktif daripada kerajaan untuk menjelaskan perkara ini,” katanya.
Pemimpin veteran Umno yang berusia 87 tahun tersebut turut menawarkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang negarawan.
Beliau telah mengesyorkan kaedah untuk merancakkan ekonomi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Beliau percaya sekiranya Umno boleh menghentikan gelombang hijau PN dari Pas, ia akan menjadi saat permulaan yang baik.
“Barisan Kerajaan Perpaduan perlu menangkis ekstremisme dan dasar mengiyakan rasuah yang melembapkan ekonomi,” ujarnya.
Umno berdepan cabaran menidakkan sentimen yang dimainkan Pas bahawa kemenangan Pas ialah penolakan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Untuk tujuan ini pemimpin kanan Umno seperti Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Hasan dan Naib Presiden Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut turun berkempen di Nenggiri.
Seramai 20,259 pengundi akan mengundi pada hari Sabtu. Seramai 85% daripada mereka pengundi Melayu.
Kawasan DUN Nenggiri merupakan DUN luar bandar yang diliputi dengan kawasan skim Felda, Kesedar dan penempatan Orang Asli di Gua Musang.
BACA JUGA: “Setiap kali ribut, Amanah terpaksa mencari tempat berteduh”